14 November 2016

Launch of MWEW in Lombok, Indonesia

DARI kiri, Shahril Azuar, Megat Zaharuddin dan Taswin melancarkan Maybank Women Eco Weavers 2016 di Mataram, Lombok, Indonesia baru-baru ini.

JARI-JEMARINYA pantas menjalin helaian benang untuk menghasilkan corak yang terlintas di minda sehingga menjadi sehelai kain.

Ia bukan satu kerja mudah kerana memerlukan konsentrasi dan kemahiran menenun yang tinggi. Bukan semua orang mampu melakukannya.

Namun, ia tidak sukar bagi Sugiati Mawardi, 32, kerana dia sudah mempelajari ilmu menenun itu sejak berusia 14 tahun lagi.

Bakat semula jadi yang dimiliki Sugiati itu semakin bersinar selepas dia mengikuti program Maybank Women Eco Weavers sejak awal tahun lalu.

Kini, anak kelahiran Desa Lenek Lauq, Lombok Timur di Indonesia itu mampu menghasilkan kira-kira dua helai kain berukuran 4.5 meter menggunakan peralatan tradisional dalam tempoh sebulan.

“Banyak ilmu yang saya peroleh sejak mengikuti program ini. Dulu, kami menjual kain yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan sintetik.

“Namun, dalam program ini kami diajar untuk menggunakan bahan-bahan semula jadi yang terdapat di sekeliling kami termasuk pewarna kain.

Model

BARISAN peragawati menggayakan busana hasil tenunan peserta Maybank Women Eco Weavers.

“Selain menyediakan tempat belajar menenun, kami juga diberikan bantuan modal untuk mengembangkan lagi perusahaan ini,” kata Sugiati ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pelancaran Maybank Women Eco Weavers 2016 di Mataram, Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Sugiati merupakan salah seorang daripada 85 orang wanita Lombok yang terpilih untuk mengikuti program latihan tenunan bagi wanita luar bandar yang bertujuan mempromosi dan meningkatkan industri tekstil tenun tempatan ke peringkat global yang dilancarkan oleh Yayasan Maybank dengan kerjasama Asosiasi Pendamping Perempuan Usaha Kecil.

Ia merupakan salah satu program utama Maybank yang dirancang untuk mendukung semangat kebersamaan ASEAN dalam mengangkat seni tenun tradisional dengan tujuan merangka pelan strategi kaum wanita dalam pelbagai komuniti bagi meningkatkan sumber ekonomi mereka.

Sugiati berkata, sebelum mengikuti program ini, dia menjual sehelai kain tenunan pada harga sekitar 150,000 hingga 200,000 rupiah (RM48 hingga RM64).

“Kini, sehelai kain tenunan boleh dijual pada harga 800,000 rupiah (RM256).

“Selain dijual kepada orang perseorangan dalam pasaran tempatan, kami juga sudah mula menjual secara online seperti tempahan melalui Facebook,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Maybank dan Yayasannya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor berkata, program itu bermula di Kemboja pada tahun lalu sebelum diperluaskan ke Indonesia.

Katanya, seramai 400 wanita tempatan akan diberi latihan tenunan dalam tempoh tiga tahun membabitkan empat kawasan utama iaitu Lombok Tengah dan Lombok Timur di Nusa Tenggara Barat serta Sawahlunto dan Tanah Datar di Sumatera Barat.

“Latihan yang akan diberikan termasuk teknik dan pengetahuan mengenai tenunan, proses pewarna semula jadi, pemasaran, promosi dan kewangan.

“Selain latihan, kami juga akan menyediakan sokongan modal dari segi pembiayaan mikro kepada semua wanita yang terbabit dalam program ini,” katanya.

Penenun

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Indonesia, Taswin Zakaria dan CEO Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Megat Zaharuddin berkata, Maybank turut bekerjasama dengan Ngorn Vanntha dan Color Silk untuk menjayakan program Maybank Silk Weaving Centre di Kemboja pada awal tahun ini.

Sebanyak 25 penenun wanita berada di pusat latihan yang disediakan bersama dengan 80 petani yang mengusahakan penanaman pokok mulberi iaitu bahan penting untuk menghasilkan benang sutera.

Sementara itu, Shahril Azuar berkata, Maybank turut merancang untuk meneruskan inisiatif ini ke Laos pada 2017 bagi membolehkan lebih banyak wanita terlibat dalam industri tenunan, sekali gus memperkasakan golongan itu.

Selain itu, mereka juga merancang untuk mengembangkan program tersebut ke dua negara ASEAN lain antaranya di Vietnam, Filipina atau Malaysia.

“Ketika ini, ia masih di peringkat perbincangan dan kami akan umumkan perkara itu apabila ia sudah dimuktamadkan.

“Model di setiap negara adalah berbeza mengikut keperluan di negara-negara itu.

“Walaupun bantuan dari aspek kewangan tidak banyak, ia mampu mengubah kehidupan golongan wanita.

“Di Lombok, seramai 400 orang wanita dijangka mendapat faedah daripada program yang dirancang selama tiga tahun ini. Ketika ini, seramai 85 wanita sudah mengikuti program itu.

“Mereka tidak hanya diajar tentang kemahiran menenun tetapi turut didedahkan dengan potensi pasaran di seluruh Indonesia dan antarabangsa,” katanya.