01 August 2016
Yayasan Maybank peruntuk RM5j projek Konservasi Harimau
MEGAT Zaharuddin (kanan) dan Dionysius pada pelancaran kempen digital #ThumbsUpForTigers sempena Hari Harimau Sedunia 2016 di Menara Maybank, hari ini. - Foto Twitter Maybank
KUALA LUMPUR: Yayasan Maybank memperuntukkan sehingga RM5 juta bagi projek konservasi harimau di Kompleks Hutan Belum Temengor, Perak.
Peruntukan untuk tempoh lima tahun itu meliputi projek konservasi spesies haiwan terancam itu yang dijalankan Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia).
Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan komitmen itu dalam sidang media pelancaran kempen digital #ThumbsUpForTigers sempena Hari Harimau Sedunia 2016 di Menara Maybank di sini sebentar tadi.
Melalui kempen itu, orang ramai hanya perlu mengambil gambar unik disertakan #ThumbsUpForTigers bagi menyatakan sokongan mereka kepada usaha melindungi dan memelihara harimau. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung, Datuk Abdul Rasid Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius S.K.Sharma; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.
Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun dalam usaha bersama komuniti dunia meningkatkan kesedaran tentang kepentingan konservasi spesies haiwan terancam itu.
Megat Zaharuddin berkata, kempen sehingga 12 Ogos depan itu sebahagian usaha jangka panjang Maybank bagi meningkatkan tahap kesedaran umum tentang konservasi harimau.
Awal tahun ini, Maybank memperuntukkan RM1.2 juta bagi projek konservasi harimau WWF-Malaysia di Belum-Temengor.
"Peruntukan sehingga RM5 juta (bagi tempoh lima tahun) tertakluk kepada perkembangan projek dan semakan tahunan," katanya Megat Zaharuddin. Pameran khas projek konservasi harimau WWF-Malaysia turut diadakan di Menara Maybank sepanjang kempen itu berlangsung sehingga pertengahan bulan depan.